Salam semua.....
Sabtu lalu, penulis menghadiri empat majlis perkahwinan dan satu kenduri arwah. Banyak lagi jemputan penulis uzurkan diri. Mungkin badan sudah panas manakala kepala pusing selepas makan terlalu banyak nasi beriani dan minyak, daging serta minum air batu. Demikianlah, orang
Melayu 'pulun' habis - ada yang sibuk menikahkan anak dan ada yang terkenangkan arwah tersayang menjelang bulan puasa tidak lama lagi. Itulah sebabnya mereka buat kenduri, kenduri dan kenduri lagi.
Apa yang penulis amati, majlis perkahwinan orang Melayu masa kini melalui evolusi masa, antaranya semua majlis yang dihadiri, tiada satu pun yang mengamalkan makan secara berhidang sebaliknya berdasarkan konsep layan diri - ceduk sendiri dan makan.
Layanan petugas adalah minimum - ada gadis dan pemuda yang menghulur buah tangan iaitu kotak kecil mengandungi gula-gula dan coklat tetapi bukanlah jenis coklat yang disalutkan ke strawberi! Sekarang hampir tiada buah tangan kotak telur bunga telur.
Khemah orang sekarang pun 'dahsyat-dahsyat'. Walau di ceruk kampung, khemahnya adalah daripada kain yang menyeret hingga ke tanah dan dalam waktu terakhir ini penulis tidak ketemui lagi khemah 'simple' daripada atap zink dan tiang besi. Kalau khemah dibuat daripada buluh, rasanya lagi sudah pupus tidak penulis ketemui.
Pendeknya sudah berlaku pelbagai perubahan dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Ini termasuklah kad kahwin, yang baru-baru ini akak penulis mengomel. Katanya, apalah budak-budak sekarang, buat kad kahwin, disertakan gambar bakal pasangan pengantin berpeluk-peluk. Masa mereka ambil gambar itu, dia orang ingat dia sudah jadi suami isteri ke?
Budak-budak sekarang sudah melampau, kata pula seorang ustaz ketika majlis Israk Mikraj yang penulis hadiri baru-baru ini. Beliau mengulas tiga dugaan utama seseorang manusia (lelaki) iaitu perempuan, harta dan pangkat. Apabila memperkatakan dugaan perempuan, beliau
berkata budak-budak sekarang kalau bercinta, melampaui batas, berlebih-lebih.
Ambil contoh kalau seseorang pemuda itu sedang mabuk bercinta. Pukul tujuh, ketika ke masjid untuk solat maghrib, kita nampak dia di atas motor sedang bercakap dengan 'aweknya' menggunakan telefon of course, pukul 9.30 malam, ketika kita balik dari masjid, dia masih bertenggek atas motor itu, berbual lagi. Apa benda yang sedap sangat agaknya dia bualkan sampai berjam-jam itu? Tak terfikirkah dia maghrib sudah lepas, nanti Isyak dan subuh pun boleh terlepas sama.
Itulah orang sekarang, kata ustaz itu. Belum kahwin boleh bercakap berjam-jam, tetapi selepas kahwin senyap saja. Sebab masa belum kahwin dulu, dia dah cakap habis-habisan, jadi lepas kahwin dia tidak ada bahan nak cakap lagi. Pasangan ini sudah habis modal jadi mereka senyap ajelah, alih-alih kita dengar dia orang dah bercerai pula.
Ini berlainan dengan orang dulu, kata ustaz itu. Pasangan pengantin dulu tak kenal satu sama lain. Mereka ikut saja cakap mak bapak. Kalau keluarga mereka dah berkenaan kat seorang anak dara itu, mereka ikut saja. Ketika mula kahwin mereka 'silent' saja, tetapi selepas
beberapa tahun kahwin, tup-tup anak dah lapan, ade yg sampai 12! Itu tandanya apa? Tanda bahagialah tu!
Dalam sebuah kuliah subuh yang penulis hadiri, penceramah dalam bab nikah kahwin, berkata kalau kita sebagai bapa (penjaga) kepada anak-anak gadis, pilihlah bakal menantu yang baik agama dan akhlaknya. Jalankan siasatan dan risikan sama ada bakal menantu solat lima
waktu dan menunaikan amalan agama lain. Soalan pertama untuk rombongan bakal menantu, 'budak' tu sembahyang tak, bukan seperti kebanyakan kita yang bertanyakan, dia kerja apa, gaji dia berapa, 'pass' universiti mana dan pakai kereta apa?
Kalau soalan pertama (solat), dia 'fail', lebih baik jangan dijadikan menantu. Orang yang tidak solat, sudah pasti 'fail' dalam bab-bab lain seperti puasa. Kalau dia tidak takutkan Allah, bagaimana dia nak menjalankan tugasnya sebagai pemimpin dalam rumah tangga, nak
memimpin isteri dan anak-anaknya?
Bagi calon isteri pula, carilah juga yang kuat beragama walaupun ciri-ciri lain seperti keturunan, subur dan kecantikan juga penting. Janganlah seperti orang sekarang yang suka cari orang glamor seperti artis.
Perkahwinan adalah satu ibadat, bukan untuk bermegah-megah, kononnya dapat kahwin artis, pelakon hebat dan sebagainya tetapi agama dan akhlaknya tidak diperhatikan.
Kata ustaz itu, antara calon isteri yang baik ialah yang murah mas kahwinnya. Hal ini termasuklah wang hantarannya, tidaklah terlalu mengada-ngada seperti orang sekarang, hendakkan RM11,111.11 atau RM22,222.22 atau RM33,333.33 atau RM44,444.44.
Hidup biarlah berpada-pada, janganlah nak riak, nak menunjuk-nunjuk. Semuanya akan membawa kehancuran. Sia-sia saja amal perbuatan sedangkan kita hendakkan keredaan Allah SWT.
Sekian, wassalam.
No comments:
Post a Comment